Saturday, July 7, 2007

Julai Yang Indah

1 Julai - Beli buku Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas - Zamri Mohamad (PTS 2006) - sedang membaca dan terus membaca sambil mencatat nota penting untuk projek penulisan akan datang.

2 Julai - Alhamdulillah. Terima emel daripada Pn. Nurul (editor PTS Pro) mengenai tawaran menulis buku Kerjaya Sebagai Pustakawan (KSP). Syukur kepada Allah kerana doa dimakbulkan. Tawaran diterima sebagai satu cabaran yang pastinya penuh dugaan dan ujian. Ya Allah, tenangkanlah hati hambaMu ini dan kuatkanlah semangatnya untuk dapat terus menulis buku Kerjaya Sebagai Pustakawan ini hingga selesai - Amin.

3 Julai - Ambil keputusan untuk menyahut cabaran PTS

4 Julai - Hantar emel jawapan kepada Pn. Nurul. Setuju terima untuk menulis buku KSP.

5 Julai - Membuat senarai bahan-bahan rujukan yang perlu untuk projek
penulisan buku KSP. Mencari bahan rujukan di internet.

6 Julai - Berbincang lanjut dengan isteri tersayang mengenai projek ini. Mencadangkan beberapa buku yang perlu dipinjam dari PSZ. Mencari bahan rujukan di internet.

7 Julai - Buat pesanan untuk beli buku Panduan Mengurus Perpustakaan - Irma Indayu Omar (PTS Pro 2005) dan majalah Dewan Pelajar untuk Madihah serta majalah Dewan Siswa untuk Athira. Mencari bahan rujukan di internet.

8 Julai - Hantar emel kepada Pn. Nurul (Editor PTS Pro) - mohon penjelasan beberapa perkara berkaitan dengan projek KSP. Pada hari yang sama hantar emel kepada Pn. Sifu bersama draf jibunsyi yang sedang di tulis.

9 Julai - Terima emel balasan dari Pn. Sifu.

31 Julai - Insya-Allah akan menerima anugerah berkat kerjasama keluarga dan rakan-rakan di pejabat. Anugerah untuk mereka sebenarnya.

Monday, June 18, 2007

Bengkel Penulisan

1. Teori KJ Method - Sabtu 4 Ogos 2007

2. Skrip Siri TV - Ahad 1 Julai 2007
(tidak dapat menghadiri bengkel walaupun telah mendaftar (Bil.13) kerana bertugas di Pendaftaran Pelajar Baru UTM Skudai.)

3. Novel Islami Popular - Sabtu, 21 Julai 2007
(Tarikh akhir hantar kertas cadangan penulisan - Sabtu, 14 Julai 2007)

Saturday, June 16, 2007

Saturday, May 19, 2007

Hubungan Dengan Orang Yang Soleh. Mengapa Kita Harus Menjaganya?

Kesempatan menghadiri kuliah maghrib di TSB semalam, memang berbaloi. Kuliah yang disampaikan oleh pakar motivasi, Datuk Dr. Hasan Ali telah berjaya menarik perhatian orang ramai untuk mengikutinya.

Bersyukur kepada Allah kerana sentiasa memberikan rezeki. kelapangan masa dan kesihatan untuk saya hadir sama dalam majlis ilmu seperti ini. Walaupun jangkamasa kuliah agak terbatas tetapi ilmu yang disampaikan sangat berguna.

Penceramah di permulaan kuliahnya telah menghuraikan secara ringkas Surah Yusuf (Ayat 101) yang bermaksud :

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Tuan Hamba telah mengurniakan kepada hamba sebahagian daripada kekuasaan (pemerintahan), dan mengajarkan kepada hamba sebahagian dari ilmu ta’bir mimpi dan peristiwa-peristiwa, - Wahai Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi! Tuan Hamba adalah Penguasa dan Pelindung hamba di dunia ini dan di Akhirat. Dan ambillah nyawa hamba (waktu ajal) dalam keadaan hamba tunduk kepada Kehendak Tuan Hamba sebagai seorang Islam, dan hubungkanlah hamba dengan orang-orang yang soleh.”

Beliau kemudiannya telah menarik perhatian para jemaah yang hadir kepada bahagian akhir doa Nabi Yusuf a.s. : “Dan ambillah nyawa hamba (waktu ajal) dalam keadaan hamba tunduk kepada Kehendak Tuan Hamba sebagai seorang Islam, dan hubungkanlah hamba dengan orang-orang yang soleh.” dan menghubungkaitkan dengan kehidupan kita pada hari ini.

Antara lain beliau menyatakan: ”Bagaimanakah kita hendak dikatakan berhubung dengan orang-orang yang soleh, jika kita tidak pernah duduk hadir bersama-sama dengan orang soleh, jika kita tidak makan bersama-sama orang soleh, jika kita tidak suka kepada orang soleh, jika kita tidak mahu berbincang dengan orang soleh, jika kita tidak mahu berpergian bersama dengan orang soleh, jika kita tidak memberi ruang kepada orang soleh menyampaikan ilmunya.”
Dalam perkara memberi ruang kepada orang-orang soleh, beliau mendakwa: “Dato’ Harun Din tidak dibenarkan menyampaikan kuliah atau ceramahnya di mana-mana surau atau masjid. Begitu juga dengan bekas Mufti Negeri Selangor, Dato’ Ishak Baharum. Untuk menyampaikan kuliah di surau di kampungnya sendiripun tidak dibenarkan.”Walhal kata beliau lagi:“Dato’ Harun Din berkelulusan PHD dalam bidang Syariah. Bertaraf ‘mumtaz’ (cemerlang) lagi. Kertas kerja dan tulisan beliau dibaca dan diiktiraf di seluruh dunia. Sehingga ke hari ini, saya belum berjumpa atau diberitahu mana-mana ilmu yang disampaikan oleh beliau dan juga Ustaz Ishak Baharum yang menyalahi syarak.”

Mengenai kuliah-kuliah maghrib dan subuh di sekolah-sekolah asrama penuh beliau memberitahu: “Sekarang sudah tidak boleh diadakan lagi. Tidak seperti semasa saya di Sekolah Alam Shah dahulu. Dahulu kami sendiri yang mengaturkan ceramah-ceramah itu. Kami sendiri yang mencari ustaz untuk memberikan ceramah.”

Menurut beliau lagi: “Aktiviti kuliah seperti ini juga dihalang diperingkat universiti. Asrama dan Desa Siswa tidak dibenarkan mengadakan aktiviti seumpama itu.”

Di samping itu beliau mengesahkan ada menerima laporan menyatakan bahawa setiap pergerakan pelajar universiti terutamanya pelajar perempuan yang bertudung labuh dan berjubah sentiasa dipantau dan diintip serta gambar mereka diambil secara rahsia jika berhimpun secara berkumpulan.

Beliau mengundang persoalan: “Bagaimana roh kita, bila sudah meninggal nanti hendak bersama-sama dengan roh orang yang soleh, kalau semasa hidup, kita menghalangi orang-orang yang soleh untuk menyampaikan ilmu?”

Beliau juga memberitahu bahawa Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang diterbitkan oleh RTM semasa dipengerusikan oleh beliau telah diterima sebagai rancangan tv popular ketika itu.

“Dapat rating nombor satu selama empat tahun setengah Tetapi sekarang apa rancangan yang popular? Kalau di Astro AFlah. 24 jam Akademi Fantasia. Tidak cukup dengan Konsert AF, ada Debat AF, ada Diari AF dan macam-macam lagi.” jelasnya lagi.

Cuma katanya: “Ada satu perkara yang sampai ke akhirnya tidak boleh dibincangkan dalam forum itu. Kita cuba mohon banyak kali untuk memasukkannya tetapi tidak dibenarkan oleh penerbit. Bab jihad. Jihad inilah satu-satunya perkara yang tidak boleh dibincang langsung dalam rancangan forum itu.”

Beliau melahirkan rasa kesal kerana bab jihad kini telah dibuang dari silibus sekolah rendah dan juga sekolah menengah: “Cubalah tuan-tuan semak buku sekolah anak tuan-tuan. Bab jihad ini sudah tiada lagi. Apalah maknanya hidup tanpa jihad? Apalah maknanya Islam tanpa jihad?”

Di samping itu beliau turut menyentuh tentang penggunaan Bahasa Inggeris.

Beliau berpendapat: “Bahasa Inggerislah satu-satunya bahasa yang akan ‘membunuh’ Islam secara halus. Bukan bahasa Perancis, bukan bahasa German ataupun bahasa Jawa.” katanya sambil tersenyum sinis.

Tambah beliau lagi: “Bukan saya menentang Bahasa Inggeris. Saya sendiri pernah belajar di Amerika. Malah saya ada kalanya lebih ‘fluent’ kalau bercakap dalam bahasa inggeris.”

Sebagai contoh katanya lagi: “Kita lihat apa yang terjadi kepada generasi muda di Singapura. Apabila kerajaan Singapura mewajibkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, generasi muda terutama remaja Islam jadi rosak. Mereka tidak lagi menghormati ibu-bapa mereka yang tidak pandai berbahasa inggeris. Sekarang ini kalau kita ke Singapura. Berjumpa dengan remaja di sana dan bertanya arah jalan contohnya. Beduk mana?, Beduk? Mereka akan menjawab dengan bahasa inggeris. Mereka malu untuk berbahasa melayu.”

Yang lebih malang lagi katanya: ”Anak remaja kita di sini malu untuk mempamirkan Islam. Malu untuk bertudung. Malu untuk memberi salam dan sebagainya.”

Sambungnya lagi: “Anak bongsu saya sendiri. Malu kalau saya hantar dia ke sekolah. Sebab apa? Kalau saya hantar dia ke sekolah, saya akan berpakaian beginilah, berbaju melayu dan berketayap. Dia malu kepada kawan-kawannya. Sebab apa? Baju melayu dan ketayap itu kepada dia Islam.”

Beliau menambah: “Saya telah didik anak saya. Kalau saya hantar dia ke sekolah, sampai di sekolah saya akan keluar dari kereta, saya akan bersalam dengannya, kemudian saya akan peluk dia dan dia akan berbisik “saya sayang ayah”, saya akan cium keningnya dan kemudian barulah saya lepaskan dia ke sekolah. Itu yang dia malu bila kawan-kawannya lihat dia buat begitu. Sebab kepada dia itu Islam. Itu anak Hasan Ali. Anak orang lain saya tidak tahulah,” katanya sambil tertawa kecil

Walau bagimanapun beliau memberitahu bahawa anak-anak beliau kesemuanya berjaya dalam pelajaran mereka. Empat orang anaknya telah lulus daripada universiti. Tiga orang masih menuntut di universiti dan anak bongsunya pun berpotensi menurut beliau akan mengikuti jejak anak-anaknya yang lain.

“Saya bukan hendak menunjuk-nunjuk. Tetapi itulah sebenarnya. Semua anak-anak saya mendapat didikan awal di sekolah agama. Kita kena gunakan Islam untuk didik anak-anak. ”
Beliau melahirkan keyakinan bahawa hanya dengan berpengetahuan agama yang mencukupi sahaja yang akan dapat menjauhkan para remaja dari gejala keruntuhan moral seperti yang berlaku sekarang.

“Hanya Islam sahaja yang dapat menyelesaikan masalah ini.”

Menurut beliau :“Kalau hendak diikutkan, rumah saya di Taman Tun (Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur) itu sekitar satu minit sahaja perjalanan dari kompleks membeli-belah terbesar di Asia, One Utama. Kelab malam dan pub ada lebih kurang 35 buah di sekeliling rumah saya. Macam-macam ada. Tetapi alhamdulillah setakat ini anak-anak saya tiada yang terlibat dengan gejala sosial di situ.”

Menyentuh mengenai WPI, beliau melahirkan kebimbangan terhadap persediaan generasi muda terutama para remaja dalam menghadapi arus pembangunan itu nanti. Menurutnya menerusi WPI, negeri Johor akan menjadi negeri yang lebih maju dari negeri Selangor dalam tempoh 15 tahun lagi. Dalam masa yang sama arus pembangunan itu nanti akan mengundang pelbagai krisis sosial di kalangan masyarakat terutamanya kepada para remaja.

Beliau telah menyarankan kepada semua hadiri supaya terus bertindak dari sekarang. Tindakan perlu dirancang dan diatur untuk menyediakan generasi yang benar-benar mantap dari segi keimanannya untuk menghadapi cabaran yang bakal mendatang.

Beliau menimbulkan persoalan: “Apa persediaan remaja kita? Masa itu saya dan tuan-tuan mungkin telah tiada. Dengan melihat keadaan remaja kita pada hari ini yang semakin jauh daripada Islam, saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku. Perkara ini kita kena fikir dari sekarang. Kita kena rancang dari sekarang”

Beliau mengakui orang Johor kebanyakkannya terdidik dengan sistem pendidikan agama yang mantap sambil menceritakan kisahnya semasa di zaman persekolahannya dulu:

“Dulu semasa saya di sekolah (Sekolah Alam Shah) kalau hendak jadikan imam kita cari orang Johor. Kalau hendak mengaji Quranpun kita cari orang Johor. Tetapi sekarang keadaan sudah jauh berubah. Sebab apa?”

Menurut beliau, sistem pendidikan agama Negeri Johor sebenarnya telah dijadikan model kepada sistem pendidikan agama di negeri-negeri lain. Malangnya sistem itu kini telah ‘dimatikan’ oleh satu sistem yang lebih besar. (Islam Hadhari - penulis)

Sebelum mengakhiri kuliahnya, sekali lagi beliau mengingatkan para jemaah yang hadir tentang keistimewaan kejadian kita sebagai manusia yang seharusnya beriman hanya kepada Allah dan tidak kepada yang lain.

“Jika kita tidak beriman kepada Allah, kita ini akan jadi seperti haiwan. Lebih teruk lagi jadi seperti haiwan ternakan. Jika seseorang itu tidak tunduk kepada Allah pastinya dia akan tunduk kepada makhluk. Tetapi jika dia tidak tunduk kepada makhluk pastinya dia akan tunduk kepada Allah.”

--------------------------------------------------------------------------

(Catatan bebas ini ditulis tanpa menurut kronologi sebenar kuliah. Keampunan daripada Allah dan kemaafan daripada penceramah atas segala kelemahan yang berlaku sangatlah diharapkan.)

Sunday, May 13, 2007

Piawaian Novel Cinta PTS

Saya pula berkata kepada Puan Aina Emir, “PTS mahu novel cinta, tetapi hanya yang ditulis menggunakan teknik Surah Yusuf sahaja,” kata saya. “Tidak ada dating-dating, tidak ada pegang-pegang tangan, tidak ada salam lelaki-perempuan, tidak ada pergaulan bebas lelaki-perempuan bukan muhrim, tidak ada teruna-dara naik motosikal berdua, tidak ada rindu-rindu, tidak ada feeling-feeling… Yang macam itu sahaja yang PTS mahu.”

Sebelum berpisah, PTS dan KD setuju akan menerbitkan novel-novel remaja untuk remaja lelaki sebagai pesiapan Pesta Buku 2008.


(petikan dari blog UNIKA PTS)

lewat petikan di atas, dapatlah difahami serba sedikit piawaian yang harus dipatuhi jika ingin menulis untuk penerbit seperti PTS ini. Satu pengetahuan baru bagi saya yang serba kurang pengetahuan dan pengalaman ini.

Nota : Saya dalam petikan di atas adalah Pn. Ainon Muhammad

Wednesday, May 2, 2007

Bengkel Penulisan Anjuran PTS

1. Bengkel Karya Fantasi - 19 Mei, 2007 (10pg-5ptg), Sek. Al-Ikhlas, Taman Permata, Ulu Kelang.
2. Bengkel KJ Method - 20 Mei, 2007 (10pg-5ptg), Sek. Al-Ikhlas, Taman Permata, Ulu Kelang.
3. Bengkel Teknik Surah Yusuf - 27 Mei, 2007 (10pg-5ptg), Sek, Al-Ikhlas, Taman Permata, Ulu Kelang.

Nota : Jadual dipetik dari laman web UNIKA PTS

* (kemaskini - 20 Jun 2007)
Alhamdulillah , dengan keizinanNya aku telah menghadiri Bengkel Teknik Surah Yusof pada 27 Mei, 2007.
Mudah-mudahan Allah sentiasa mempermudahkan saudara-saudaraku dan juga diriku untuk mencari dan menambah ilmu di masa hadapan.